Monthly Archive for September, 2008

Isu Skema Permarkahan Dikir Barat - Bahagian 1

Skema pemarkahan merupakan pegangan bagi hakim-hakim yang ingin mengadili sesuatu pertandingan. Skema yang disediakan oleh pihak penganjur akan menjadi rujukan bagi para hakim untuk mengisi markah-markah yang diperolehi oleh sesebuah kumpulan yang bertanding.

Seharusnya skema pemarkahan yang dibuat perlulah tepat, mudah difahami, tidak mengelirukan bagi melancarkan lagi penjurian/penghakiman sesuatu pertandingan termasuklah pertandingan dikir barat.

Inidividu yang dipilih untuk menghakimi pertandingan dikir barat pula seharusnya mempunyai kredibiliti dan juga kebolehan dalam membuat penilaian mengenai keseluruhan aspek dikir barat dan tidak hanya mengetahui aspek-aspek tertentu sahaja dalam dikir barat.

Ini kerana bagi aku, dalam pertandingan dikir barat, seseorang hakim perlulah diberikan hak untuk menilai keseluruhan aspek dikir barat dan kaedah ini lagi berkesan berbanding seorang hakim diberikan satu bahagian tertentu dalam dikir barat untuk dinilai, contohnya bahagian muzik.

Pada tahun ini, aku telah beberapa kali dijemput untuk mengadili pertandingan dikir barat iaitu dari peringkat sekolah hinggalah peringkat negeri dan peringkat kebangsaan (kenegaraan).

Apabila diberi file hakim, perkara pertama aku tengok adalah skema pemarkahan. Kali terakhir ialah pada 16 dan 17 Ogos 2008 iaitu pertandingan Dikir Barat Kenegaraan peringkat akhir yang berlangsung di Auditorium RTM Kuantan, Pahang. Seramai 7 orang hakim dijemput untuk mengadili pertandingan tersebut. Apa yang aku tidak sangkakan ialah hanya 4 pasukan sahaja bertanding. Ramai hakim pulak dari pasukan bertanding.

clip_image002

Hakim-hakim Pertandingan

clip_image004
clip_image006
Pasukan-pasukan Akhir
 

Boleh dikatakan setiap pertandingan dikirbarat yang dianjurkan, skema markahnya adalah tidak sama antara satu-satu pertandingan. Terdapat pelbagai versi yang boleh kita tengok. Daripada ringkas sehinggalah terlalu detil (kononnya).

Kebiasaannya, aku memang tidak jadikan skema markah yang diberikan sebagai rujukan untuk permarkahan sebaliknya pandai-pandai aku saja buat skema sendiri dan beri markah kepada setiap pasukan yang bertanding. Ada jugak rakan-rakan hakim yang lain bertindak sedemikian. Mungkin kerana tahap kepengadilan aku tidak setinggi tahap skema markah yang diberikan oleh pihak penganjur.

Tujuan aku menulis berkenaan skema permarkahan dikir barat adalah untuk berkongsi dengan semua penggiat dikir barat berkenaan teknik penilaian markah. Di sini aku akan berikan beberapa contoh skema pemarkahan dikir barat untuk dinilai oleh semua pengunjung di sini (aku amat berharap dapat melihat skema pemarkahan pertandingan dikir barat peringkat Kebangsaan anjuran RTM).

Ini kerana tinggi harapan aku dan rakan-rakan dikir barat yang lain supaya skema pemarkahan dikir barat di Malaysia diselaraskan di setiap pertandingan yang dianjurkan sama ada di peringkat sekolah atau universiti atau negeri atau peringkat kebangsaan.

Sedar ataupun tidak, kekeliruan berkenaan dengan dikir barat di Malaysia juga sedikit sebanyak adalah disebabkan oleh ketidakselarasan skema pemarkahan di setiap pertandingan.

Sepatutnya penyelarasan skema dikir barat telah lama dilakukan kerana di Malaysia terdapat beberapa persatuan dikir barat yang boleh dikatakan berpengaruh. Namun berkemungkinan persatuan-persatuan ini sibuk melakukan perkara-perkara yang lebih penting daripada perkara yang tersebut di atas.